Wednesday, November 21, 2018

FOLIO PENGURUSAN PEMBELAJARAN (KPS 3014)


BAB 1: PERSPEKTIF TEORI SOSIOLOGI PENDIDIKAN

Sosiologi merupakan teori lahir daripada masyarakat yang berteraskan teori fungsionalisme, teori konflik dan teori interaksionisme simbolik.

           Teori fungsionalisme memberi huraian mengenai organisasi sosial dan mengkaji perubahan sosial dalam masyarakat. Masyarakat mempunyai pelbagai bahagian dan setiap bahagian masyarakat dikenali sebagai struktur. Menurut teori ini, struktur sosial merupakan faktor kelancaran keharmonian dan kemajuan masyarakat.
            Teori konflik menganalisis konflik-konflik dalam masyarakat yang sentiasa berubah. Konflik tersebut berkait rapat dengan persoalan seperti ekonomi, pendidikan, politik, sosial dan agama. Teori ini juga mengkritik kapitalisme yang merupakan sistem pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan
            Teori interaksionisme simbolik pula mengkaji cara manusia menginterpretasi dan kelakuannya dalam keadaan tertentu. Teori ini juga mengkaji makna simbolik menerusi hubungan manusia dan cara manusia menggunakan simbolik ketika berkomunikasi. Manusia berkeupayaan membuat modifikasi antaranya dan keupayaan ini memanjangkan kemungkinan kesan tindakan, membuat penilaian dan menentukan tindakan yang sesuai.
            Kesimpulannya, pandangan teori konflik ialah masyarakat berada di dalam keadaan berubah-ubah, berkonflik dan sentiasa menjaga kepentingan masing-masing. Teori fungsionalisme pula mengkaji fungsi perlakuan sosial atau masyarakat. Akhir sekali teori interaksionisme simbolik lebih merujuk kepada pendekatan mikro iaitu bagaimana seseorang menginterprestasi dan bertindak menurut kemahuan. Setiap perlakuan atau aksi individu bersifat subjektif ditafsirkan dandiperjelaskan akan maknanya.






BAB 2: KONSEP SOSIALISASI

Sosialisasi adalah suatu proses pembelajaran yang berterusan di mana seseorang individu mempelajari peranan, status dan nilai dalam institusi sosial. Ini bermakna pembentukan pendirian seseorang individu bergantung kepada apa yang dipelajarinya ketika zaman kanak-kanaknya.
            Teori Sosialisasi menekankan perkembangan kognitif, pemerolehan moral dan perkembangan kemahiran sosial dan sosialisi mempunyai tiga jenis iaitu sosialisai permulaan, sosialisasi sekunder dan sosialisasi semula. Sosialisasi permulaan merupakan peringkat belajar kanak-kanak dalam membentuk diri dari pelbagai aspek. Sosialisasi sekunder melibatkan pengaruh agen sosialisasi(rakan, guru, media massa dan sebagainya) merupakan peringkat pemilihan peranan seseorang individu itu sendiri. Sosialisasi semula pula merupakan proses perubahan konsep diri dan cara hidup seseorang individu akibat dipengaruhi oleh faktor keluarga, agama, pendidikan, ekonomi dan kerajaan.
            Sehubungan dengan itu, keluarga mempengaruhi proses perubahan seseorang individu kerana ia merupakan tempat kanak-kanak membesar. Agama pegangan hidup, pendidikan pembentuk generasi muda, ekonomi dan politik memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seseorang individu.
            Kesimpulannya, kanak-kanak belajar dari pengalaman. Pembentukan dan perubahan pendirian seseorang individu berkait rapat dengan persekitaran pembelajaran awalnya dan pelbagai faktor luaran yang disebutkan tadi.


PROSES SOSIALISASI
              Terdapat empat tahap dalam proses sosialisai iaitu Tahap Persiapan(Preparatory stage), Tahap Meniru(Play stage), Tahap Siap Bertindak(Game stage) dan Tahap Penerimaan Norma Kolektif(Generalized stage).

STRATIFIKASI SOSIAL  
            Stratifikasi menunjukkan perbezaan antara individu-individu ataupun antara kumpulan-kumpulan dalam struktur masyarakat. Setiap individu atau masyarakat berbeza secara hirarki. Walau bagaimanapun, pendemokrasian pendidikan memberi peluang yang sama kepada semua individu tanpa mengira kelas, umur ras dan gender untuk  memperkembangkan kebolehan dan bakat.

BENTUK ATAU CORAK INTERAKSI MURID DALAM KUMPULAN
           Terdapat beberapa  jenis interaksi murid dalam kumpulan, antaranya termasuk interaksi sehala, dua hala dan dua hala antara kumpulan. Dalam interaksi sehala dalam kumpulan,seorang pelajar dilantik untuk menjadi ketua. Kelebihan interaksi ini adalah ketua kumpulan dapat melicinkan akitiviti kumpulan manakala kelemahan interaksi ini adalah ahli kumpulan tidak dapat berinteraksi antara satu sama lain.
            Interaksi dua hala melibatkan interaksi antara ketua kumpulan dengan ahli dan ahli dengan ahli. Interaksi dua hala antara kumpulan pula mengalakkan interaksi antara ahli-ahli dalam kumpulan, dan interaksi antara ahli kumpulan dengan ahli dari kumpulan yang lain. Kedua-dua interaksi ini dapat mengeratkan hubungan pelajar di samping meningkatkan kebolehan pelajar dalam bersosial atau bercakap depan khalayak ramai.

PENGANIAYAAN SIMBOLIK
            Penganiayaan simbolik diperkenalkan oleh Pierre Bourdieu. Penganiayaan adalah perbuatan menganiayai, penyeksaan, penindasan manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, simbolik berkaitan dengan lambang. Menurut Amir Hasan Dawi, Penganiayaan simbolik merupakan penindasan terhadap kelas pekerja atau kelas sosial lebih rendah oleh dominasi budaya.
            Dalam penganiayaan simbolik, kelas atau kumpulan lebih rendah terpaksa sering menjadi mangsa kerana mereka kekurangan modal budaya. Dalam bidang pendidikan, penganiayaan secara simbolik berlaku apabila budaya kelas sosial atas lebih sesuai dalam amalan pendidikan di sekolah berbanding budaya kelas sosial bawah.
            Sehubungan dengan itu, guru berperanan penting dalam mengelakkan amalan penganiayaan simbolik dalam pengajaran. Seseorang guru tidak patut mengandaikan semua murid tahu apa yang diajarkan ketika mengajar, membezakan murid yang mengikut kecerdikan, memandang rendah terhadap murid dan mengajar tanpa mengambil kira keperluan murid.

  MODAL BUDAYA
            Modal budaya murid merupakan sumber budaya yang ada pada seseorang murid di mana ia menanam nilai-nilai pada murid-murid yang menentukan sikap dan tahap pencapaian mereka dalam sekolah. Setiap murid mempunyai latar budaya yang tersendiri yang diperolehi  daripada keluarganya khususnya ibu bapa. Mereka yang berlatar belakang kelas atas mempunyai budaya yang berbeza berbanding kelas bawah. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam budaya kelas dominan mempunyai kelebihan dalam pendidikan. Ini bermakna murid yang mempunyai modal budaya mampu mencapai kejayaan dalam sekolah.





  
 BAB 3: PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN
            
            Pengurusan pembelajaran adalah penting bagi seseorang guru dalam menambah ilmu pengetahuan, meningkat mutu kerja dan menambah produktivitinya. Terdapat pelbagai jenis kaedah pengurusan yang boleh diguna seperti pengurusan berpusatkan pelajar, berpusatkan bahan, berpusatkan guru, pengurusan bahan pembelajaran, tempat, masa dan pengajar.
            Seseorang guru yang professional perlu menguasai dan mengurus pengetahuan berkaitan dengan pelajar, pedagogi, kurikulum, konten-pedagogi, kandungan mata pelajaran, konteks pendidikan Malaysia dan falsafah pendidikan Malaysia. Secara umumnya, pengurusan pembelajaran boleh dijalankan dari pelbagai aspek seperti tradisional, moden, barat, Islam, Cina, India dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

PENGURUSAN SEKOLAH
            Pengurusan sekolah adalah sukar kerana sekolah dan sistemnya terdiri daripada organisasi manusia. Kumpuluan sasaran sekolah juga adalah manusia dan merupakan golongan kanak-kanak dan remaja yang kompleks dalam proses perkembangan mental, fizikal, emosi dan sosial. Golongan ini adalah sangat penting dan merupakan harapan atau asset utama sesebuah negara. Oleh itu, pengurusan organisasi sekolah perlu strategik, kreatif dan inovatif supaya sekolah yang berkesan dapat diwujudkan.

 MATLAMAT PEMBELAJARAN
            Pendidikan bertujuan melahirkan warganegara yang baik dari dimensi interinsik dan dimensi instrumental. Rakyat yang mendapat pendidikan yang baik akan mempunyai kepercayaan atau pegangan teguh kepada tuhan, berkelakuan baik dan bertanggungjawab, berilmu pengetahuan dan mampu memberi kesumbangan kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.

 PRINSIP PENGAJARAN
            Rancangan pengajaran harian(RPH) perlu dirancang mengikut urutan bermula dengan set induksi di mana aktiviti ringkas dijalankan bagi menarik perhatian murid sebelum penyampaian maklumat dijalankan. Seterusnya pada peringkat penyampaian, guru perlu merancang langkah-langkah yang bersesuaian dengan bahan, aras pencapaian dan masa pengajaran. Akhir sekali penutup adalah penting dalam mengukuhkan lagi isi yang disampaikan dan menilai keberkesanan pengajaran.
           Hal ini memerlukan kreativiti guru supaya tumpuan pelajar dapat dikekalkan dan seterusnya pengajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Faktor masa, jumlah murid, penggunaan bahan membantu mengajar dan kesukaran bahan mengajar juga perlu diambil kira semasa membuat rancangan pengajaran. Ketika proses pengajaran dan pembelajaran, di samping mengulang isi-isi, membuat latih tubi, guru juga harus melibatkan pelajar dengan mengalakkan murid untuk bersoal, memberi pandangan dan berhujah.

 PRINSIP PEMBELAJARAN
            Dalam proses pembelajaran, pemberian latihan dapat membantu murid mengukuh pengetahuan yang dipelajari dan mengaplikasikannya. Suasana pembelajaran yang selesa dari pelbagai aspek, pengajaran yang berfokus, penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran, persediaan guru dan pengkajian murid sebelum mengajar dan suasana pengajaran berbentuk dorongan merupakan aspek-aspek yang penting dalam menjamin keberkesanan pembelajaran murid.
            Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kesediaan murid belajar. Antaranya termasuk kematangan fizikal murid, pengekalan tumpuan, dorongan untuk menimbul dan mengekalkan minat, persekitaran dan pengalaman murid.
             Kesimpulannya, kaedah pembelajaran dan teknik pengajaran harus sentiasa dikaji dan dipertambahbaik dari semasa ke semasa supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan.






BAB 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI
           
             Dalam pentadbiran Kementerian Pelajaran Malaysia, Menteri Pelajaran Malaysia diketuai oleh Menteri Pelajaran diikuti dengan dua Timbalan Menteri. Pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran Malaysia pula terdiri daripada Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah Pelajaran, Timbalan Ketua Setiausaha , Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran dan terdapat 16 Jabatan Pelajaran di Malaysia.
            Dalam organisasi sekolah, setiap ahli organisasi mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Pengetua mengetuai sistem pentadbiran sekolah diikuti oleh penolong kanan pentadbiran, penolong kanan hal ehwal murid dan penolong kanan kokurikulum. Pengetua bertanggungjawab dalam peningkatan Kurikulum dan Kokurikulum , melicinkan hal pengurusan, pentadbiran dan kewangan sekolah serta mewujudkan hubungan dua hala dengan komuniti luar. Penolong kanan pula bertanggungjawab membantu pengetua dalam semua aspek perancangan dan pengurusan sekolah dan menjalankan tugasnya semasa ketiadaannya.
            Dalam pengurusan mata pelajaran, setiap mata pelajaran diagih mengikut bidang, antaranya termasuk bidang bahasa, bidang sains dan matematik, bidang teknik dan vokasional dan bidang kemanusiaan. Setiap bidang diketuai oleh seorang guru ketua bidang dan setiap mata pelajaran mempunyai seorang ketua panitia.
            Kepimpinan peringkat sekolah mempunyai empat gaya kepimpinan iaitu autokratik di mana kawalannya adalah ketat, demokratik yang bersifat liberal, Laissez-faire yang bertentangan dengan autokratik dan kepimpinan kontingensi
            Dalam kepimpinan bilik darjah, guru merupakan pemimpin di dalam bilik darjah dan sewaktu ketiadaan guru dalam kelas, murid-murid diberi kuasa untuk memimpin. Untuk menjamin keberkesanan kepimpinan guru, seseorang guru perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran diri, tidak bersifat mementingkan diri, bijak membuat keputusan, menjadi contoh kepada murid dan boleh menyampai visi yang jelas dalam bilik darjah. Selain itu, seseorang guru yang ingin berjaya dalam mendidik murid perlu mengamal gaya pengajaran yang betul berdasarkan keadaan bilik darjah dan murid.







BAB 5: PENGURUSAN MURID
            Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah kerana pelaksanaannya di sesebuah sekolah tersebut akan menjejaskan prestasi sekolah dalam pelbagai aspek. Oleh itu, pengurusan murid perlu dijalankan dengan sistematik.
            Pengurusan murid mempunyai beberapa elemen penting, antara ialah pengurusan rekod murid, kesediaan belajar murid dan memotivasikan murid. Setiap elemen mempunyai peranan masing-masing dan harus dijalankan dengan sistematik. Pengurusan rekod murid yang rapid dan mantap dapat membantu pihak sekolah dalam menyelesaikan masalah murid dengan lebih mudah kerana pihak sekolah dapat merujuk kepada segala maklumat mengenai murid yang bermasalah. Hal ini dapat melicinkan sistem pengajaran dan pembelajaran secara tidak langsung.

KESEDIAAN MURID BELAJAR
            Kesediaan Murid Belajar merupakan keadaan dalam seseorang individu yang bersedia dan berupaya untuk mendapatkan sesuatu pengalaman pembelajaran baru. Dari segi kematangan fizikal, mental, sikap dan emosi, jenis kesediaan untuk belajar termasuklah kesediaan psikomotor, kesediaan afektif dan kesediaan kognitif. Setiap murid menunjukkan tahap kesediaan belajar berbeza walaupun dalam situasi yang sama. Ini adalah kerana setipa murid mempunyai perbezaan dari segi perkembangan mental, sikap dan minat, kadar pertumbuhan fizikal, keyakinan diri, jantina dan dalam diri individu.
            Sehubungan dengan itu, guru harus menyedari perbezaan yang ada pada setiap murid dan membuat rancangan pengajaran dengan bijak. Strategi seperti penggunaan set induksi yang menarik, rancang aktiviti berdasarkan kebolehan dan pengetahuan sedia ada, pemilihan isi pelajaran mengikut tahap kesediaan belajar murid dan sebagainya.

MEMOTIVASIKAN MURID
            Motivasi merupakan rangsangan yang membangkitkan respond seseorang individu untuk mencapai sesuatu matlamat atau keinginan. Guru memainkan peranan penting dalam memotivasikan murid-muridnya dengan membentuk persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran yang kondusif dan sentiasa memberi dorongan kepada murid dengan memberi pujian atau anugerah kepada murid. Selain itu, guru harus mewujudkan suasana pembelajaran koperatif dan kolaboratif supaya dapat membantu murid lemah dalam mendapatkan pertolongan dalam pembelajaran.
            Kesimpulannya, perancangan dan pengurusan murid yang baik dan sistematik dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang baik dan sempurna di samping meningkatkan motivasi murid khususnya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam menjalankan pengurusan murid supaya dapat melahirkan murid cemerlang dalam pelbagai aspek.






BAB 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH

            Pengurusan bilik darjah merupakan proses yang melibatkan penyusunan tempat duduk murid dan galakan interaksi antara murid.

AKTIVITI PENGAJARAN BERKUMPULAN
            Dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran berkumpulan, murid dikelompokkan dalam kumpulan mengikut kebolehan atau minat. Kumpulan boleh dibentuk mengikut kebolehan(pelajar sama kebolehan) atau pelbagai kebolehan dalam satu kelompok. Pengajaran berkumpulan dapat melicinkan proses pembelajaran murid dan menggalakkan interaksi dan kerjasama antara murid. Terdapat tiga jenis corak interaksi murid dalam kumpulan dan ia amat bergantung kepada cara pengendalian guru. Walau bagaimanapun, kelemahan yang ketara dalam aktiviti pengajaran berkumpulan ini adalah guru tidak dapat memberi perhatian yang saksama kepada setiap kumpulan.

AKTIVITI PENGAJARAN INDIVIDU
            Dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran individu, guru harus menggunakan pelbagai cara untuk membantu proses pembelajaran ini supaya setiap murid dapat belajar secara menyeluruh. Oleh itu, guru harus menyedari perbezaan yang ada pada semua muridnya melalui pemerhatian dalam kelas dan merancang pengajaran dengan bijak.
            Pengajaran individu boleh dijalankan dalam kumpulan kecil dan kewujudan situasi pembelajaran yang meransang adalah diperlukan. Selain itu, murid harus mengambil inisiatif dalam memantapkan penguasaan kemahiran yang dipelajari. Kelebihan aktiviti pengajaran individu ini adalah murid dapat meguasai pelbagai kemahiran dan memperkembangkan kemahiran berfikir mengikut kebolehan masing-masing. Murid juga akan lebih berkeyakinan dan bermotivasi untuk belajar sendiri.

PUSAT PEMBELAJARAN
            Pusat pembelajaran adalah ruang dalam bilik darjah yang disediakan dengan pelbagai bahan sumber. Di samping belajar, murid berpeluang untuk menggunakan ruang ini untuk membina kreativiti dan keyakinan melalui pameran hasil kerja masing-masing.
            Pusat pembelajaran harus dibina mengikut panduan tertentu dan penubuhannya juga perlu mengambil kira beberapa faktor seperti aspek fizikal dan ekonomi. Terdapat tiga jenis pusat pembelajaran iaitu pusat pembelajaran langsung, pusat pembelajaran terbuka dan pusat pembelajaran kemahiran. Guru dan murid mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam pengurusan pusat pembelajaran.
           
 PENYEDIAAN BAHAN
            Bahan pengajaran berfungsi sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang kondusif. Melalui penggunaan bahan pengajaran maka guru dapat menyampaikan isi pengajaran dengan lebih jelas dan dapat membantu murid memahami apa yang diajar. Bahan pengajaran terbahagi kepada dua jenis iaitu bahan hidup dan bahan bukan hidup. Ini bermakna bahan pengajaran tidak terhad kepada buku teks dan gambar-gambar sahaja tetapi juga merangkumi segala benda yang digunakan dalam pelajaran yang dapat dilihat, didengar, dipegang, digunakan dan sebagainya.
            Dalam memilih bahan pengajaran, guru seharusnya bijak menilai dan mengetahui akan keperluan atau sumbangan alat bantu dalam penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Pertimbangan seharusnya menekankan semua aspek atau kriteria-kriteria dalam pengajaran dan pembelajaran seperti keberkaitan dengan topik yang diajar, kos dan masa penyediaan yang diperlukan, kandungan nilai-nilai murni dan sebagainya.

PENGURUSAN SUMBER
             Pengurusan sumber adalah proses memilih, menyusun, mengguna dan menyimpan bahan serta alat supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan sempurna. Pengurusan sumber seperti bahan cetak, penyusunan dan penyimpanan mengikut jenisnya adalah diperlukan dan pelaksanaan pengurusan sumber ini melibatkan pihak sekolah, murid dan juga ibu bapa. Pengurusan sumber bertujuan untuk melicinkan aktiviti-aktiviti bilik darjah, menimbulkan minat dan semangat belajar murid, mewujud suasana pembelajaran yang mencabar dan menjamin prestasi murid.






BAB 7: PENGURUSAN SUMBER

             Pusat sumber adalah suatu tempat yang memberikan suasana pembelajaran kendiri yang selesa, ia juga menawarkan perkhidmatan yang membolehkan pelanggan mendapat dan mengamal kemahiran dalam pembelajaran. Kolesi bahan pusat sumber juga adalah lengkap sentiasa dikemaskini sejajar dengan perkembangan pendidikan. Pusat sumber sebagai agen perubahan juga memupuk potensi dan minat murid.
            Sehubungan dengan itu, selain daripada maklulmat dari agensi luar, bahan-bahan dan alat-alat yang sedia ada di pusat sumber sesuai digunakan dalam proses pembelajaran, guru mempunyai kebebasan untuk membuat pemilihan dan penilaian bahan-bahan tersebut sebelum menggunakannya. Pusat sumber juga menggalakkan aktiviti membaca dan mengembangkan kemahiran pembelajaran kendiri.
            Pusat sumber sekolah (PSS) yang berkesan mempunyai ciri-ciri tertentu, antaranya ialah warga sekolah mengenali pengurus PSS, terdapat pelbagai aktiviti yang melibatkan penggunaan PSS, perkhidmatan dan koleksi digunakan, lokasi PSS yang strategik, warga sekolah suka mengguna PSS dan faham peranan PSS. Pembentukan PSS yang berkesan melibatkan langkah-langkah bermula dengan penubuhan AJK dan pelantikan kakitangan, rancangan-rancangan berkenaan, latihan dan bengkel, orientasi dan pelanggan, pengemaskini rekod pengurusan, galakan penggunaan dan penyediaan laporan tahunan.
            Pembelajaran berasaskan sumber menekankan pengetahuan pelajar, ia meliputi mata pelajaran tertentu atau melibatkan berbagai disiplin pelajaran. Dalam pembelajaran berasaskan sumber, pembelajaran adalah berpusat kepada murid. Melalui pembelajaran berasaskan sumber, murid dapat belajar secara aktif, keyakinan diri dan motivasi belajar murid juga dapat ditingkatkan dengan adanya bimbingan dan tunjuk ajar dari guru.






BAB 8: STRATEGI MENGURUS BILIK DARJAH DAN KOMUNIKASI

            Bilik darjah telah mengalami perubahan dari zaman dahulu hingga sekarang dari segi penambahan bilangan murid dan penggunaan tempat mengajar. Dewasa ini, sebuah bilik darjah secara fizikalnya dilengkapi dengan kerusi, meja, papan hitam, alat bantu mengajar dan dua puluh hingga tiga puluh pelajar dalam satu-satu kelas.

Unsur Fizikal Bilik Darjah
            Penyusunan bilik darjah amat penting dalam situasi pembelajaran pelajar, persekitaran fizikal bilik darjah yang baik dapat menjamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Penyusunan bilik darjah melibatkan beberapa aspek seperti masa, tenaga, alat pengajaran yang dapat digunakan dengan baik, kemudahan digunakan secara berkesan dan susunan menggalakkan untuk pembelajaran, aspek-aspek tersebut adalah penting dalam mencapai objektif tertentu.
            Dalam menjalankan rutin di bilik darjah, guru memainkan peranan penting dalam memeriksa keadaan fizikal bilik darjah, menetapkan waktu pelaksanaan rutin bilik darjah, menyedia dan menyusun bahan pelajaran, memilih dan merancang rutin yang sesuai, sempurna dan sistematik. Pelaksanan rutin yang sistematik dapat melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran, menjimatkan masa, menimbul rasa selamat, memupuk kemahiran kepimpinan dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan murid serta dapat mengawal disiplin dalam bilik darjah.

INTERAKSI DALAM BILIK DARJAH
            Interaksi dalam bilik darjah adalah satu proses saling bertindak yang berlaku di antara sekurang-kurangnya dua orang atau kumpulan murid dalam bilik darjah.
            Terdapat beberapa jenis interaksi corak lisan, antaranya termasuk interaksi sehala atau interaksi tradisional di mana guru mengawal segala aktiviti kelas dan tiada interaksi antara murid dengan murid. Interaksi dua hala dan antara guru dan murid pula menggalakkan penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara aktif. Manakala interaksi dua hala antara murid dengan murid dapat menggalakkan pembelajaran koperatif dan kolaboratif serta dapat mengeratkan hubungan antara murid dengan murid. Interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid pula menggalakkan komunikasi berkesan dan suasana pembelajaran kondusif.

IKLIM BILIK DARJAH
            Suasana bilik darjah terbahagi kepada tiga iaitu suasana fizikal, suasana sosial dan suasana emosi. Setiap suasana bilik darjah mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Suasana emosi bilik darjah adalah lebih penting daripada suasana fizikal dan sosial, ia merupakan gabungan daripada suara, kelucuan, penggunaan pujian, sikap dan ekspektasi bilik darjah, kemesraan, stail, kawalan serta kepimpinan dan kaedah mengajar.Oleh itu, guru memainkan peranan penting dalam menentu suasana bilik darjah.
            Secara kesimpulannya, strategi pengurusan bilik darjah adalah berkait rapat dengan tiga aspek penting seperti unsur fizikal, interaksi dan iklim bilik darjah. Selain itu juga, peranan daripada guru adalah penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seiring dengan matlamat dan isi pembelajaran yang ingin disampaikan.

KOMUNIKASI BERKESAN DALAM BILIK DARJAH
            Komunikasi berkesan dalam bilik darjah atau proses pengajaran dan pembelajaran apabila pelajar memahami betul-betul apa yang disampaikan oleh guru. Kefahaman ini diterjemah dalam bentuk tindakan yang betul. Komunikasi yang berkesan mempunyai ciri-ciri seperti keseronokan, pengaruh kepada sikap, pengeratan hubungan dan kewujudan tindakan yang dikehendaki.
            Komunikasi berkesan sering dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti mesej jelas, mudah, hubungan sosial antara dua pihak, kepercayaan dan kewibawaan, kaedan penyampaian mesej, keupayaan mendengar dan memahami mesej tersirat dan sebagainya. Terdapat juga halangan-halangan dalam komunikasi seperti komunikasi sehala, prasangka, masalah sematik, pilih kasih dan kecacatan system pendengaran dan pertuturan.

KOMUNIKASI MESRA GURU-PELAJAR
            Komunikasi mesra guru-pelajar bertujuan meningkatkan hubungan baik antara guru dengan pelajar. Komunikasi mesra ini dapat terjalin apabila guru dan pelajar saling memahami, mematuhi etika dalam komunikasi supaya rasa hormat antara satu sama lain dapat diwujudkan, berbudi bahasa dan bersopan santun dengan memberi senyuman apabila bertemu, pengunaan perkataan yang sesuai ketika bercakap, pengunaaan nada yang lembut dan harmoni serta bersabar ketika berkomunikasi.

KEWIBAWAAN GURU DALAM KOMUNIKASI
            Kewibawaan guru merupakan keistimewaan yang ada pada guru yang boleh mempengaruhi pelajar untuk berubah sikap, cara berfikir, tingkahlaku, dan cara berkomunikasi. Ketika berkomunikasi, kewibawaan seseorang guru dapat dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti kebolehpercayaan, berkepakaran, dinamik, ketakalan, jujur dan ikhlas, mementingkan para pelajar, peramah, pengolahan mesej dan imej perucap guru.






BAB 9: PENGURUSAN  DISIPLIN

            Pengurusan disiplin merupakan alat untuk mempertahankan hak individu dalam sekelompok masyarakat. Dalam sesebuah sekolah, pengetua dan guru-guru mempunyai tanggungjawab secara langsung terhadap semua kelakuan warga  sekolah terhadap murid-murid. Tindakan disiplin boleh dikenakan oleh pihak sekolah terhadap warga sekolah yang melakukan kesalahan. Walau bagaimanapun, rayuan boleh dibuat oleh pihak ibu bapa atau penjaga murid mengikut prosedur yang ditetapkan jika hukuman seperti buang sekolah atau gantung sekolah dijatuhkan.
            Pengurusan pelajar secara kolektif yang dilaksanakan di semua sekolah khususnya yang melibatkan disiplin pelajar bertujuan untuk menyelesai gejala sosial dalam kalangan pelajar. Bagi menjayakan program dan aktiviti di sekolah semua pihak yang terlibat hendaklah bersama-sama menjana tenaga untuk menangani masalah disiplin yang timbul di sekolah. Ini bermakna seseorang guru tidak bertindak bersendirian tetapi secara kolektif yang mewujudkan budaya berpasukan. Hukuman yang tidak dinyatakan dalam peraturan-peraturan pelajaran seperti mengetuk, menapar, mencubit dan sebagainya adalah dilarang disebabkan hukuman tersebut berbentuk penyeksaan dan adalah melampau.
            Bagi jenis kesalahan berbentuk jenayah, mengikut kanun Prosedur Jenayah adalah menjadi satu kewajipan melainkan jika ada sebab-sebab yang berpatutan bagi orang ramai termasuk warga sekolah memberi maklumat berkenaan dengan berlakunya atau niat mana-mana orang yang hendak melakukan kesalahan-kesalahan seperti merusuh, mendatangkan kematian tanpa niat, membunuh dan cuba membunuh, merompak, membakar bangunan, memeras ugut, menganggotai kumpulan haram dan mengedar atau menyalahgunakan dadah atau kedua-duanya sekali.
            Semasa menyelesaikan masalah disiplin, kesalahan murid perlulah dilihat secara objektif tanpa mengikut emosi dan membuat kesimpulan terburu-buru. Suasana tenang juga hendaklah diwujudkan semasa siasatan dibuat dan dapatkan bukti-bukti atau saksi-saksi. Selain itu, pelajar terbabit perlu diberi peluang untuk membuat penjelasan dan bantuan perlu diberi supaya pelajar tersebut sedar akan kesalahannya. Manakala kesalahan displin yang serius perlu dimaklumkan kepada pengetua dan merujuk kes-kes tertentu kepada pihak berkuasa jika perlu.
            Pengurusan disiplin yang berkesan dapat dicapai apabila semua guru dapat memberi sokongan dan kerjasama, panduan atau pekeliling sentiasa dirujuk, system fail atau data sentiasa dikemaskini, program seperti program pembangunan sahsiah dan program permuafakatan bersepadu dijalankan, kajian dan pemantauan dijalankan.
            Kesimpulannya, pengurusan disiplin memerlukan sokongan dan kerjasama semua warga sekolah dan masyarakat supaya suasana sekolah dan persekitaran pembelajaran yang aman dan harmoni dapat diwujudkan.







BAB 10: KEPIMPINAN ASAS DALAM BIMBINGAN DAN PENASIHATAN

            Pengurusan penasihatan murid terbahagi kepada tiga jenis proses iaitu bimbingan, penasihatan dan mentoring. Bimbingan merupakan proses membantu individu membuat keputusan, penasihatan adalah proses menasihati individu atau kumpulan, manakala mentoring ialah proses memberi bimbingan, sokongan dan bantuan secara professional dalam menghadapi krisis hidup dan pembangunan diri individu.
            Dalam pengurusan penasihatan murid, pembimbing dan penasihat, kaunselor serta guru disiplin memainkan peranan penting. Pembimbing dan penasihat berupaya dan sentiasa bersedia untuk menolong pelajar yang memerlukan bantuan, kaunselor membantu perkembangan pelajar dan menyelesai masalah, manakala guru disiplin menjaga disiplin pelajar dan memastikan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan murid.

KONSEP PENASIHATAN
            Menurut Zuraidah (1994), penasihatan adalah memberi nasihat dengan tanpa memahami, memeriksa dan menjelajah masalah individu. Menurut Kamus Dewan(1994), penasihatan adalah ajaran, petunjuk yang baik, peringatan, mengusulkan, mengsyorkan atau menganjurkan tentang pelbagai hal.
            Sehubungan dengan itu, penasihatan memberi tumpuan kepada masalah sahaja, ia berbentuk arahan atau suruhan daripada seorang yang dianggap lebih berautoriti dan juga merupakan strategi paling cepat untuk mengatasi permasalahan.
            Dalam sesebuah sekolah, penasihatan adalah penting kerana ia diperlukan untuk membantu pelajar menjadi lebih berdisiplin dan menjauhi diri dari salah laku akademik. Seseorang penasihat sepatutnya bersikap positif, tinggi motivasi dan prihatin serta berilmu. Penasihatan perlu diberi apabila pelajar menghadapi masalah dalam pencapaian akademik seperti mengulangi peperiksaan. Bagi pelajar bermasalah sahsiah pula, penasihatan perlu diberi apabila berlakunya penyelewengan akademik, ketidakjujuran, ketidaksaksamaan dan sebagainya.

PERBEZAAN ANTARA PENASIHATAN DAN KAUNSELING
            Terdapat perbezaan antara penasihatan dan kaunseling. Penasihatan memberi fokus kepada permasalahan, boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, memerlukan masa singkat dan tindakan tidak dipantau oleh penasihat. Kaunseling pula memberi fokus kepada individu bermasalah, dilaksana oleh individu terlatih dalam bidang berkenaan, memerlukan masa yang lebih panjang dan sentiasa dipantau.


 TEKNIK DAN STRATEGI DALAM BIMBINGAN DAN PENASIHATAN
            Teknik dan strategi yang bersesuai adalah penting dalam menangani permasalahan pelajar. Ia dapat membantu guru dalam proses memberi kesedaran kepada pelajar untuk memperbaiki pemikiran, perasaan, sikap dan tingkahlaku.
            Antara teknik yang digunakan dalam bimbingan dan penasihatan ialah teknik pendekatan afektif atau teknik berbual kosong, teknik berasaskan pendekatan behavioral dan teknik berasaskan pendekatan kognitif, Dengan menggunakan teknik-teknik tersebut, proses bimbingan dan penasihatan menjadi lebih efektif dan mudah di samping dapat menceriakan dan menghidupkan suasana sesi.
            Untuk menjadi pembimbing dan penasihat berkesan, seseorang guru harus bersifat positif, ikhlas, prihatin, berkeyakinan, berkredibiliti tinggi, berpengetahuan dalam bidang ini, bersikap amanah, beretika dan sebagainya.

MENTORING
            Secara keseluruhan, mentoring merupakan agensi bimbingan, membantu pelajar dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman serta membentuk sikap dan sahsiah diri yang baik.
            Pada umumnya, mentoring membantu pelajar menyelesaikan masalah yang dihadapi, memberi bimbingan yang sempurna kepada setiap kecerdasan atau potensi pelajar, memupuk semangat dan perasaan persaudaraan, kekitaan dan tanggungjawab bersama dan memupuk minat, ingin tahu dan bakat pelajar mengikut kemampuan dan peringkat pelajar.
            Secara khasnya, mentoring menolong pelajar bermasalah emosi, membantu pelajar menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, menolong perkembangan pelajar dalam bidang yang diminati, memupuk perpaduan dan mengawal disiplin pelajar.
            Melalui mentoring, mentor dapat membina kemahiran pemantauan dalam sesebuah organisasi, mendapat kepuasan diri dan dapat berkongsi pengalaman. Manakala mentee dapat membina hubungan baik dengan orang lain, menyelesaikan masalah, mengurangkan kadar jenayah di sekolah dan memupuk semangat pelajar.






BAB 11: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA

            Kepelbagaian budaya yang wujud dalam kalangan pelajar adalah suatu hakikat yang perlu diterima dan difahami dengan sebaik-baiknya. Perbezaannya termasuk etnik, agama, bahasa, gender, status ekonomi dan keupayaan fizikal dan mental. Oleh itu, keadaan ini memerlukan kaedah dan teknik pengajaran yang berbeza. Sebahagian pelajar memerlukan bimbingan secara terus oleh guru namun terdapat sebilangan pelajar pula mampu belajar secara berkesan dengan penglibatan guru yang minimum.
            Terdapat dua pendekatan bagi menakrifkan perbezaan antara pelajar, antaranya ialah pendekatan pelajar sebagai individu dan pendekatan kurikulum.
            Pendekatan pelajar sebagai individu adalah amalan tradisional di kebanyakan negara di mana perbezaan pelajar ditekankan berdasarkan ciri-ciri individu seperti kecacatan, latar belakang sosial atau sifat-sifat psikologi. Pendekatan kurikulum pula menekankan perbezaan pelajar berdasarkan tugas dan aktiviti yang disediakan untuk pelajar dan keadaan yang diwujudkan di bilik darjah, Pendekatan ini bertujuan untuk memahami masalah pelajar dalam proses persekolahan mereka dan menyediakan skop sokongan kepada lebih ramai pelajar termasuk pelajar yang diasingkan daripada sekolah dan kelas biasa.

TUJUAN DAN STRATEGI PEMBEZAAN
            Tujuan pembezaan adalah untuk menggalakkan kejayaan pembelajaran dalam kalangan pelajar dengan cara membolehkan pelajar daripada latar belakang dan kebolehan yang berbeza untuk membuktikan apa yang mereka tahu, faham, dan apa yang boleh mereka lakukan.
            Terdapat beberapa jenis pembezaan yang boleh digunakan oleh guru untuk mengubahsuai pengajaran mengikut keperluan pelajar dan kurikulum seperti pembezaan kaedah mengajar melibatkan perbezaan isi kandungan, pembezaan kadar belajar, pembezaan dari segi tahap dan sebagainya.
            Bagi menangani kepelbagaian pelajar secara berkesan dan berkualiti, pendidikan dan perkembangan guru boleh berlaku dalam tiga kaedah iaitu melalui program perguruan asas, melalui kursus dan perkhidmatan dan program pengembangan staf berpusatkan sekolah.
            Kesimpulannya, guru merupakan aset penting dalam pembentukan pelajar yang pelbagai budaya. Oleh itu, guru-guru harus berusaha dalam menangani masalah pelajar-pelajarnya yang datang dari mempunyai kepelbagaian budaya.





BAB 12: PENGURUSAN MURID

            Pengurusan murid adalah penting kerana pelaksanaannya akan mencerminkan prestasi sesebuah sekolah. Pengurusan murid berasaskan kepada perancangan kerja atau program, pengelolaan murid secara berkesan, pemilihan cara berkesan, penyeliaan aktiviti dan pengawalan prestasi pelajar. Pengurusan murid mestilah dilaksanakan berpandukan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan(DPK) negara kita. Hal ini penting supaya segala urusan murid bertepatan dengan matlamat sekolah dan negara.
            Pengurusan murid mempunyai beberapa elemen penting. Antaranya ialah pengurusan rekod murid, kesediaan belajar murid dan memotivasikan murid. Setiap elemen tersebut mempunyai peranan masing-masing dan memerlukan perancangan yang baik dan rapi.
            Pengurusan rekod murid membolehkan guru menguruskan pelajar secara efektif dari segi kehadiran, disiplin, penilaian dan kokurikulum. Kesediaan pelajar adalah keadaan dalam seseorang individu yang bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi serta berupaya untuk mempelajari sesuatu dengan tujuan memperolehi pengalaman pembelajaran. Motivasi pula merupakan rangsangan yang menggerakkan individu melakukan sesuatu. Ia terbahagi kepada insentif dan motif.
            Kesimpulannya, pengurusan murid yang bersistematik dan rapi dapat membawa  semua warga sekolah yang terlibat dalam pengurusan murid perlu melakukan tugas mereka dengan bertanggungjawab untuk melahirkan murid yang cemerlang dari pelbagai aspek seperti kognitif, afektif dan psikomotor.

PENDIDIKAN ISLAM
            Pendidikan Islam adalah pendidikan Iman dan amal berkenaan ajaran tentang sikap dan kelakuan peribadi masyarakat ke arah keamanan hidup seseorang. Menurut Al-Abrashy (1976), pendidikan Islam bertujuan untuk mendidik murid supaya berkelakuan mulia dan sempurna, mengamalkan dan menghayati nilai-nilai Islam, memupukkan murid dengan kebersihan, kesucian dan keikhlasan serta pelbagai amalan yang baik.

PERANCANGAN PENYAMPAIAN PENGAJARAN
            Komponen utama dalam perancangan penyampaian pengajaran adalah set induksi, langkah perkembangan dan penutup. Kaedah yang boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah kaedah hafalan, kaedah syarahan, kaedah soal jawab, kaedah perbincangan, kaedah bercerita, kaedah ulangan dan kaedah tunjuk cara. Setiap kaedah tersebut dapat membantu keberkesanan penyampaian pengetahuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


PENDIDIKAN KHAS
            Pendidikan khas menggunakan kaedah-kaedah tertentu untuk memenuhi keperluan perkembangan fizikal, intelek, emosi dan sosial murid-murid yang berkeperluan khas, iaitu murid yang mengalami kecacatan atau kurang upaya dari segi fizikal atau mental.

FALSAFAH PENDIDIKAN KHAS
               Pendidikan khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan falsafah pendidikan negara.
            Tujuan pendidikan khas adalah untuk menyediakan peluang pendidikan yang sesuai dan peluang untuk mengembangkan potensi kepada murid-murid dengan keperluan khas.

PENGURUSAN MURID DALAM PENDIDIKAN KHAS
            Pengurusan murid bilik darjah dalam pendidikan khas, guru memainkan peranan penting dalam pengurusan masalah tingkah laku murid khas. Pengurusan tingkah laku merupakan suatu proses pengajaran dan pembelajaran akademik mahupun sosial.
            Antara peranan guru dalam pengurusan tingkah laku murid termasuk menganalisis masalah dan faktor salah laku murid serta bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menyelesaikan masalah tersebut. Untuk menangani masalah tingkah laku murid khas dalam bilik darjah, guru boleh menggunakan kaedah seperti sistem token, kaedah galakan, kaedah tindakan berpadan, sistem hukuman dan sebagainya.







BAB 13: SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

 Hubungan Sekolah dengan Ibu Bapa dan Masyarakat.
            Dalam mencapai matlamat yang sama, hubungan tiga dimensi antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat perlulah mantap dan akrab. Selain itu, hubungan tiga dimensi tersebut dapat membawa faedah kepada tiga pihak tersebut.
            Sekolah sebagai sebuah institusi sosial tidak dapat beroperasi bersendirian dan adalah kompleks. Oleh itu, dalam mengatasinya, keprihatinan dan permuafakatan antara pihak sekolah dan masyarakat adalah sangat diperlukan.

Kepentingan Perkongsian
            Masyarakat dan sekolah adalah saling memerlukan, sekolah merupakan agen perubahan masyarakat dan ini bermakna bahawa masalah masyarakat merupakan masalah sekolah juga. Sekolah juga memerlukan penglibatan masyarakat dalam menjaga keselamatannya. Contohnya, melalui penubuhan kelab Pencegahan Jenayah, hubungan kerjasama antara sekolah, PIBG dan pihak polis dapat dijalin untuk membanteras perbuatan jenayah yang melibatkan murid.
           
Hubungan Sekolah dengan Ibu Bapa (PIBG)
            Antara peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah menjalinkan hubungan baik antara guru dan ibu bapa supaya guru dapat bertugas dengan bersemangat dan selesa tanpa prasangka antara satu sama lain. Perbincangan juga hendaklah sentiasa diadakan dengan untuk mengatasi sebarang masalah yang dihadapi.
            Selain itu, kepakaran dalam kalangan masyarakat juga diperlukan. Penglibatan aktif PIBG dapat menarik minat dan memberikan motivasi kepada pelajar di samping membantu perkembangan dan pencapaian sesebuah sekolah.
            Kesimpulannya, pengurusan PIBG yang cekap akan melahirkan sekolah yang cemerlang. Hubungan dan kerjasama yang baik antara sekolah dengan PIBG akan mewujudkan pemuafakatan bagi menjana kecemerlangan sekolah dan melahirkan modal insan.







BAB 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN

            Pengurusan alam pembelajaran penting bagi memenuhi masa yang diperuntukkan unutk mengajar, memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran tercapai serta tidak membosankan kerana dapat menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran tersebut.

PERSEDIAAN KE ALAM PERSEKOLAHAN
            Pengajaran ialah cara-cara yang digunakan untuk menyampaikan bahan yang hendak diajar. Dalam merancang pengajaran dan pembelajaran, aspek-aspek seperti masa yang diperuntukan, kehendak objektif, keberkesanan dan keseronokan harus dipertimbangkan. Objektif pembelajaran berbentuk implisit melibatkan perubahan tingkah laku yang ketara, manakala objektif eksplisit melibatkan perubahan tingkah laku yang boleh dilihat.
            Komponen-komponen yang perlu diambil kira dalam merekabentuk pengajaran ialah objektif pengajaran, strategi pengajaran yang sesuai, bahan bantu mengajar, maklum balas pelajar dan penilaian.
            Perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran adalah dari set induksi, penyampaian isi dan akhirnya penutup. Set induksi adalah langkah permulaan dalam proses P&P dan bertujuan untuk menarik minat pelajar. Penyampaian isi pula merupakan langkah yang memerlukan teknik penyampaian dan menyoal yang baik dan adalah langkah yang penting dalam proses P&P. Penutup pula merupakan langkah terakhir dalam proses P&P dengan aktiviti seperti penilaian objektif pengajaran, membuat kesimpulan atau rumusan.
            Sebelum mengajar, seseorang guru harus membuat penulisan persediaan mengajar, persediaan ilmu pengajaran dan isi pelajaran diajar, persediaan bahan pengajaran, persediaan ruang pengajaran serta persediaan kemahiran dalam pengajaran.

KAJIAN DI SEKOLAH
            Menurut Bartlett (2001), kajian bermaksud pengumpulan data secara sistematik, pembentangan, dan analisis data. Kajian bertujuan untuk memajukan teori atau menyelesaikan masalah.
            Kajian kes pengurusan pendidikan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pegawai termasuk di Kementerian Pelajaran untuk menghasilkan kajian kes yang berkualiti dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK).

  RANCANGAN ORIENTASI SEKOLAH (ROS)
            Rancangan orientasi sekolah bertujuan memberi peluang kepada guru pelatih memahami situasi di sekolah berasaskan pendekatan perkembangan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Program ini memberi peluang kepada guru untuk menyesuaikan diri, meninjau persekitaran, mengenali pengurusan, kurikulum, dan prasarana, membuat pemerhatian aplikasi teori P&P dalam bilik darjah, mendapat pengalaman dan memupuk budaya pemikiran kreatif dan reflektif terhadap dunia pendidikan
            Dalam ROS, perana guru pelatih adalah menghadiri taklimat, memahami objektif, melapor diri dan membina hubungan baik dengan pihak sekolah, mengamalkan etika, melibatkan diri dalam kokurikulum, mengumpul data, menyediakan folio berkenaan, menyerahkan borang rumusan serta folia kepada pensyarah dan menanggung perbelanjaan sendiri.
            Pihak sekolah pula bertanggungjawab dalam memberi kerjasama kepada pihak UPSI, melantik guru yang berpengalaman sebagai guru pendamping, membantu guru pelatih menyesuaikan diri dan mengumpul maklumat sekolah, memberi peluang untuk membuat pemerhatian semasa guru berpengalaman mengajar, mengawasi displin dan kehadiran guru pelatih, melapor sebarang kes mengenai guru pelatih kepada UPSI dan menyerahkan borang rumusan kehadiran dan dokumen berkenaan kepada UPSI.
            Guru pendamping pula berperanan dalam membimbing guru pelatih, memaklumkan kemajuan guru pelatih kepada pengetua dan menjalankan sekurang-kurangnya sekali perbincangan dengan guru pelatih.
            Akhir sekali, pensyarah bimbingan bertanggungjawab dalam menjelaskan konsep, objektif dan tugasan ROS, menyemak folio serta dokumen berkenaan, menjalankan perbincangan, membuat rumusan, membuat lawatan dan menyimpan rekod penilaian ROS.